SOP baharu umrah berkuat kuasa 14 Februari ini

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti umrah akan berkuatkuasa bermula 14 Februari ini. - Gambar hiasan
Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti umrah akan berkuatkuasa bermula 14 Februari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah umrah akan berkuat kuasa bermula 14 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara SOP baharu itu adalah keperluan 'Person incharge (PIC)' dari agensi pelancongan untuk memantau kepatuhan jemaah umrah.

Katanya, pemantauan itu adalah semasa jemaah berada di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan ketika di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

"(PIC) turut serta dengan jemaah sekiranya melebihi 40 orang atau disediakan bagi setiap tempoh tersebut untuk jumlah jemaah kurang dari 40 orang.

"SOP lain adalah mewajibkan dos penggalak dan membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

"Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri," katanya ketika sidang media khas sempena mesyuarat menteri kuartet Covid-19 di Kementerian Pertahanan pada Selasa.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lepas telah bersetuju untuk membenarkan semula perjalanan umrah bagi jemaah dari Malaysia bermula 8 Februari ini selepas kerajaan menggantung sementara perjalanan menunaikan ibadah umrah setelah menilai data penularan Covid-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan mengambil maklum berkenaan dengan kumpulan jemaah umrah yang telah ke tanah suci bermula Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.

"Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang akan dikuat kuasa nanti," ujarnya.