PRN Johor: Bersatu yakin pertahan 11 kerusi

Mohamed Azmin (tengah) menggaul yee sang pada Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat di Batu Pahat pada malam Isnin.
Mohamed Azmin (tengah) menggaul yee sang pada Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat di Batu Pahat pada malam Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mampu mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod cemerlang kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau berkata, selain menilai rekod pencapaian Muhyiddin, faktor gabungan tiga parti komponen dalam PN melibatkan Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan membuatkan rakyat memilih PN.

"Beliau (Muhyiddin) berdepan dengan dua krisis besar iaitu kesihatan dan ekonomi, namun kerana kepimpinan yang kuat, berintegriti mampu membawa negara kita keluar daripada pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi Malaysia.

"Ini kenyataan yang tidak boleh mereka nafikan. Jadi, kalau kita mahu kerajaan yang kuat, berkredibiliti, yang 'deliver' kepada rakyat, yang prihatin kepada rakyat. Saya yakin mereka akan memberi peluang kepada PN," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat di sini pada malam Isnin.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Boo Chin Liong.

Pada PRU14, Bersatu menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin dan Permas manakala tiga kerusi tambahan diperoleh selepas wakil rakyat UMNO di DUN Sedili, Johor Lama dan Endau bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohamed Azmin merayu rakyat Johor supaya memberi mandat pemerintahan kepada gabungan itu yang terbukti berwibawa.

"Masa depan negeri ini biarlah ditentukan oleh rakyat Johor berasaskan fakta dan kejayaan-kejayaan yang telah dicatatkan oleh PN. Kami di sini berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi dan memberikan kestabilan kepada negeri Johor.

"Berilah peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat yang dapat mencerdaskan ekonomi sekaligus membawa lebih banyak pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan untuk anak-anak di negeri Johor," katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan dipimpin di peringkat negeri dan Persekutuan lemah serta diterajui mereka yang tidak berwibawa akan menjejaskan keyakinan pelabur ke negeri ini.

"Dewan Perniagaan Cina, ahli perniagaan dan komunitinya memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menarik keyakinan pelabur ke negeri Johor. Sebab itu saya pesan ini bukan mengenai politik, ini adalah demi masa depan generasi kita," katanya.