Bersatu sedia hadapi PRN Johor

Hamzah berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Amanat Tahun Baru 2022 di Kompleks D, hari ini. - Foto Bernama
Hamzah berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Amanat Tahun Baru 2022 di Kompleks D, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat berhubung situasi politik terkini tanah air.

"Kita akan pastikan seluruh rakyat tahu siapa yang boleh dipilih dan memilih pimpinan lebih baik demi kepentingan negara," katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesediaan Bersatu menghadapi PRN sekiranya Dewan Undangan NegerI (DUN) Johor dibubar dalam masa terdekat.

Minggu ini Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad terus diasak pembangkang di negeri itu agar berterus-terang bagi menamatkan desas-desus tersebut meskipun telah membuat penafian pada Isnin lalu.

Hasni dilapor turut menegaskan sokongan Bersatu dan Pas kepada kerajaan negeri goyah.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), Parti Amanah Negara (enam), MIC (dua) dan Pas (satu).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamzah berkata, bukan sahaja PRN Johor menjadi spekulasi malahan terdapat juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan.

"Tetapi bilakah ketetapannya akan dibuat oleh mereka bertanggungjawab?" soalnya.