Persaingan dua penjuru rebut kerusi nombor satu PSM

SUMALI dan ZURAIDIN.
SUMALI dan ZURAIDIN.
A
A
A

PERTEMBUNGAN dua penjuru dijangka berlaku bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah dicalonkan bagi menduduki kerusi berkenaan.

Sumali yang juga merupakan Naib Presiden PSM menerima sebanyak tujuh pencalonan manakala Zuraidin pula menerima sebanyak dua pencalonan masing-masing daripada ahli gabungan yang berdaftar di bawah badan induk sepak takraw negara itu.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Abidullah Salleh berkata, pihaknya turut menerima 18 borang pencalonan bagi jawatan timbalan presiden dan 28 bagi jawatan naib presiden selain daripada jawatan presiden.

Jelasnya, kesemua calon itu perlu menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang ditetapkan selewat-lewatnya sebelum jam 12 tengah hari pada Khamis ini kepada pihak PSM.

“Kami sudah menerima borang pencalonan daripada ahli -ahi gabungan negeri untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

“Kesemua calon perlu menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang ditetapkan selewat-lewatnya 12 tengah hari Khamis.

“Sekiranya PSM tidak menerima apa-apa jawatan daripada calon, maka penyertaannya bagi bertanding jawatan yang ditetapkan akan terbatal,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pencalonan bagi pemilihan yang dibuka sejak 30 Januari lalu dan berakhir 11.59 malam 6 Februari menyaksikan pertembungan dua penjuru bagi jawatan presiden, empat penjuru bagi jawatan timbalan presiden manakala lima calon akan merebut jawatan naib presiden.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, kerusi panas nombor satu PSM itu kosong berikutan peletakan Datuk Seri Ahmad Ismail pada 5 Jun lalu selepas dia digantung daripada sebarang aktiviti sepak takraw selama 17 tahun oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bermulai 5 Mei lalu atas salah lakunya berhubung kongres pemilihan persekutuan itu.

Empat lagi jawatan yang dipertandingkan dalam pemilihan di ibu kota itu ialah timbalan presiden dan naib presiden yang mana pada penggal 2018-2021 disandang masing-masing oleh Datuk Akramuddin Aziz, Datuk Abdul Halim Suleiman, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Datuk Awang Sham Amit.