[VIDEO] Dua jam pemeriksaan, sebuah kotak dokumen dibawa keluar

Salah seorang kakitangan syarikat berkenaan membantu membawa keluar sebuah kotak dipercayai mengandungi dokumen berkaitan siasatan isu integriti melibatkan Mara sambil diiringi pegawai SPRM.
Salah seorang kakitangan syarikat berkenaan membantu membawa keluar sebuah kotak dipercayai mengandungi dokumen berkaitan siasatan isu integriti melibatkan Mara sambil diiringi pegawai SPRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa kira-kira dua jam melakukan pemeriksaan di sebuah pejabat setiausaha Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Bukit Bintang di sini pada Isnin

Difahamkan, pejabat berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Syarikat Mara Corp dan anak-anak syarikatnya.

Sitaan turut dibuat melibatkan beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu integriti dan salah guna kuasa, didakwa membabitkan anak syarikat Mara untuk tujuan siasatan lanjut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebuah kotak dipercayai mengandungi dokumen-dokumen berkenaan dibawa keluar dari pejabat berkenaan pada jam 1.30 petang.

Menurut sumber, dua pegawai SPRM terlibat dengan pemeriksaan berkenaan yang bermula sejak jam 11.30 pagi.

Media melaporkan beberapa pegawai SPRM hadir di tiga pejabat milik Mara pada Isnin bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu.

Difahamkan, perolehan dokumen-dokumen itu bagi penelitian susulan dakwaan berlaku kesalahan salah guna kuasa oleh pegawai badan awam berkenaan.

Proses siasatan terhadap dokumen-dokumen penting itu perlu dibuat sebelum memanggil saksi-saksi untuk diambil keterangan.

Isu integriti membabitkan nama Mara mula panas susulan penularan sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara di Twitter sejak Jumaat.

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Artikel Berkaitan:

Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun.

Isi kandungan surat itu menyatakan laporan penuh itu adalah seperti yang diarahkan oleh Azizah yang meminta supaya siasatan terperinci dibuat oleh bahagian integriti.