Jangan tunggu gaji minimum dinaikkan sehingga akhir tahun: MTUC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sekarang dan tidak menunggu sehingga akhir tahun 2022.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan sepatutnya membuat semakan selaras dengan Akta Gaji Minima yang mengkehendaki kajian perlu dibuat atas gaji minimum.

“Ini bagi membolehkan golongan pekerja-pekerja bawahan mendapat keseimbangan perbelanjaan harian isi rumah yang kini meningkat dengan ketara.

“Kenaikan barangan juga tidak dapat dikawal sehingga barangan kawalan oleh kerajaan dijual melebihi harga kawalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada Sabtu dilapor menyatakan bahawa pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Katanya, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin turut menyelar alasan yang dibuat majikan bahawa syarikat akan ditutup sekiranya gaji minimum dinaikkan.

“Alasan lapuk kerana ia telah digunakan semasa majikan menentang pelaksanaan gaji minimum pada 2013.

Artikel Berkaitan:

“Tiada data yang menyokong penutupan syarikat disebabkan oleh kenaikan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,200 dalam tempoh sembilan tahun pelaksanaan gaji minimum,” tegasnya.

Kamarul Baharin dalam masa sama menyatakan bahawa sepatutnya gaji minimum baru perlu dilaksanakan pada 1 Januari 2022.

“Jika kerajaan ingin melaksanakan kadar gaji minimum pada akhir tahun ini, maka tunggakan gaji selama 12 bulan perlu dibayar kepada pekerja.

“Syarikat sedia maklum berkenaan Akta Gaji Minima yang memerlukan semakan setiap dua tahun dan perlu bersedia dengan kadar gaji minimum yang baru bukannya memberi pelbagai alasan terhadap semakan,” ujarnya.