Kualiti air Kelantan terganggu akibat paip bocor

Kerja-kerja penggalian tanah di sekitar paip jenis glassfiber reinforced plastics (GRP) di Kampung Belukar, Machang giat dijalankan.
Kerja-kerja penggalian tanah di sekitar paip jenis glassfiber reinforced plastics (GRP) di Kampung Belukar, Machang giat dijalankan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kemerosotan kualiti air yang alami oleh pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di beberapa lokasi di negeri ini ketika ini berlaku akibat ketidakstabilan proses rawatan di loji Merbau Chondong, Machang dan ketidakstabilan tekanan di dalam paip agihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, keadaan yang berlaku di tiga daerah itu berkaitan dengan kerja-kerja membaiki paip yang bocor di Kampung Belukar, Machang.

Katanya, kerja-kerja menggorek tanah di sekitar paip sedang dijalankan di lokasi kebocoran bagi tujuan pembaikian paip.

“Sehingga jam 4 petang Ahad, kerja-kerja penggalian tanah di sekitar paip jenis glassfiber reinforced plastics (GRP) di Kampung Belukar, Machang menemukan punca atau tempat kebocoran yang berlaku.

“Buat masa sekarang, pengguna-pengguna yang masih lagi mendapat bekalan air AKSB melalui paip agihan dijangka akan menghadapi masalah kualiti air yang kurang memuaskan disebabkan ketidakstabilan dalam proses rawatan di loji rawatan air dan juga ketidakstabilan tekanan dalam paip-paip agihan AKSB,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Azzmi berkata, langkah seterusnya ialah menyediakan ruang yang mencukupi dan selamat untuk kerja-kerja pembaikian dilakukan dengan kaedah perlaksanaan wrapping oleh kontraktor pakar.

“Kerja-kerja wrapping di jadual akan bermula awal pagi hari ini dan paip yang siap dibaiki akan melalui proses pengawetan dalam tempoh 24 jam.

“Setelah itu, loji rawatan air Merbau Chondong dijangka akan kembali beroperasi sepenuhnya seperti asal dan diharapkan cuaca baik bagi membantu memudahkan kerja-kerja pembaikian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau dan pihak KSB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku kepada pengguna terlibat di daerah Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu Selatan.

“AKSB menempatkan 109 buah tangki statik di lokasi-lokasi yg dikenalpasti mengalami gangguan berikutan pengurangan bekalan ini di ketiga-tiga daerah terlibat.

“Di samping mendapat bantuan sebanyak 14 buah lori tangki air dari Syarikat Air Terengganu, Syarikat Ranhill SAJ, Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Selangor dan Lembaga Air Perak selain lima lori tangki air milik AKSB sendiri,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, kebocoran paip bersaiz diameter 1.1 meter di laluan Kampung Belukar di daerah Machang dikesan pada jam 9 pagi.

Kerja-kerja pembaikian paip air itu ditangguhkan sementara semasa perayaan Tahun Baharu Cina bagi mengelakkan gangguan bekalan dan disambung Sabtu lalu serta dijangka siap Rabu ini.