Penduduk Kampung Kebun Baru dibenarkan pulang

Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
Keadaan terkini tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
A
A
A

NIBONG TEBAL – Penduduk Kampung Kebun Baru berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memaklumkan, kebenaran itu dibuat berdasarkan cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, kualiti udara di sekitar kawasan Kampung Kebun Baru dilihat semakin baik.

“Penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing mulai hari ini.

“Bagaimanapun bagi Ladang Byram, penduduk masih dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah masing-masing dan pemantauan akan diteruskan oleh JAS sehingga bacaan kualiti yang stabil diperoleh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin

Sementara itu, penduduk di sekitar daerah SPS dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini terbakar pada kira-kira jam 5 petang, 10 Januari lalu membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Berikutan itu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Akibat kejadian itu juga, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru kerana berdepan masalah pencemaran udara.

Dilaporkan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram dipindahkan ke dua PPS berkenaan selain ada menumpang di rumah ahli keluarga mereka.

Selepas 20 hari terbakar, akhirnya kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 31 Januari lalu.