X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Junta Myanmar bakar rumah penduduk

Penduduk mendakwa junta Myanmar membakar rumah mereka sebagai usaha mengekang penentangan pemerintahan baharu.- AFP
A
A

BANGKOK - Penduduk kampung dan kumpulan pemisah mendakwa tentera Myanmar telah membakar ratusan rumah di wilayah barat laut yang sedang bergolak bagi mengekang penentangan terhadap pemerintahannya.

Tunjuk perasaan besar-besaran terhadap rampasan kuasa pada tahun lalu telah menyaksikan tindakan ganas tentera sehingga orang awam terpaksa menubuhkan Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) bagi menentang junta.

Seorang wanita dari perkampungan Bin di wilayah Sagaing yang terbabit dalam pertempuran baru-baru ini berkata, tentera tiba pada awal Isnin lalu.

"Mereka membedil meriam dan melepaskan tembakan senapang sebelum tiba, " katanya dan menambah bunyi tembakan menyebabkan penduduk melarikan diri.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, tentera telah membakar kira-kira 200 buah rumah.

"Kami tidak sempat membawa apa-apa. Kami hanya membawa pakaian sahaja dan kemudian melarikan diri," katanya.

Difahamkan junta turut membakar rumah di kampung Ma Hte yang terletak berhampiran selepas militia projunta diserang oleh kumpulan pemisah.

"Apabila PDF meninggalkan kampung, tentera membakar rumah mereka," kata anggota kumpulan pemisah dan menambah sebanyak 600 buah rumah telah dibakar.

Sebuah stesen televisyen tempatan pula mendakwa PDF memulakan kebakaran dan menyiarkan gambar-gambar bangunan dibakar oleh 'pengganas'. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!