Tiga loji air baharu akan dibina di Pahang

Abdul Hadi (dua,kanan) menyampaikan replika cek kepada sebuah institusi yang ditenggelami air pada majlis penyerahan sumbangan misi pasca banjir PAAB prihatin di Dewan Dato Sri Manan Ismail di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Ahad.
Abdul Hadi (dua,kanan) menyampaikan replika cek kepada sebuah institusi yang ditenggelami air pada majlis penyerahan sumbangan misi pasca banjir PAAB prihatin di Dewan Dato Sri Manan Ismail di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Ahad.
A
A
A
KUANTAN - Tiga loji air baharu bakal dibina di Pahang bagi membolehkan rakyat mendapat akses bekalan air bersih mencukupi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Abdul Hadi Ali berkata, pembinaan loji air akan dilaksanakan di daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan dijangka dapat menambah kapasiti bekalan sebanyak 250 juta liter air sehari.

Menurutnya, selain itu, kerja-kerja menaikkan taraf loji sedia ada, menambahkan tangki-tangki besar dan penggantian paip-paip lama juga akan dilaksanakan di setiap daerah di negeri ini.

"Projek-projek di penstrukturan semula air di Pahang ini membabitkan kos RM920 juta bagi tempoh tahun ini sehingga 2024 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Jadi, kita mahu lihat bagaimana Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menggunakan peruntukan ini bagi menambah baik Perkhidmatan bekalan air di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis penyerahan sumbangan misi pasca banjir PAAB prihatin di Dewan Dato Sri Manan Ismail di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Ahad.

Seramai 1,000 penerima dan 10 institusi yang terlibat dengan musibah banjir Disember tahun lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Yang Dipertua Malaysia Relief Agensi (MRA) Pahang, Mahadi Deraman.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan, Abdul Hadi menjelaskan, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan bagi membantu penduduk di sekitar Kuantan yang terjejas banjir.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, mereka yang terlibat akan menerima bantuan barangan keperluan harian seperti kit pembersihan, bantal, selimut dan 10 kilogram beras manakala 10 institusi terlibat pula menerima wang tunai RM10,000.

"Bantuan ini bagi meringankan beban yang dialami akibat kemusnahan harta benda dalam musibah banjir pada penghujung tahun lalu.

"Sokongan pada daripada keluarga Malaysia amat diperlukan pada waktu ini untuk memastikan semua mangsa banjir tidak kira warga emas, dewasa mahupun kanak-kanak dapat bangkit daripada trauma," ujarnya.

Sementara itu, Saiful Zaini memaklumkan peruntukan sebanyak RM920 juta akan digunakan untuk kerja-kerja penstrukturan semula air di Pahang.

Katanya, buat masa ini fokus diberikan kepada usaha meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri ini amat membimbangkan.

"Selain itu, kita juga akan menggantikan paip-paip lama dan usang serta menaikkan taraf beberapa loji air bagi memastikan bekalan air mencukupi," katanya.