'Tegur orang dalam UMNO itu juga’ - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyelar tindakan segelintir pemimpin UMNO yang tidak bersikap adil dalam membuat teguran apabila menyerang pihak lain berbanding menegur pemimpin mereka.

Beliau sebaliknya berkata, mereka sewajarnya juga menegur ahli pimpinan sendiri daripada orang lain.

“Masalahnya ialah ‘UMNO soleh’ ini diam membisu membenarkan kluster mahkamah menunggang UMNO untuk melanggar semua orang lain.

“Mereka ini perlu berlaku adil. Kenapa pula meminta supaya orang lain berhenti menyerang UMNO? Sedangkan apabila penyokong kluster mahkamah dalam UMNO bersikap biadab terhadap kami mereka tidak menegur kebiadaban itu?

“Jangan tegur orang lain saja, tapi tegurlah orang dalam UMNO itu juga,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan sebahagian daripada mereka yang mencadangkan supaya tidak menyerang UMNO yang sedang menyusun strategi untuk membetulkan parti itu dari landasan yang salah.

“Saya mengiktiraf kewujudan kumpulan yang baik ini dalam UMNO dan akui mereka mempunyai sikap berbeza daripada kluster mahkamah. Saya tak tahu apa nak panggil golongan ini. Kita katalah mereka ini ‘UMNO soleh’.

“Ada beberapa tokoh ‘UMNO soleh’ menghubungi saya menyatakan bahawa mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan UMNO dari landasan yang salah.

Artikel Berkaitan:

“Jadi mereka cadangkan saya tidak menyerang UMNO sebab mereka sedang buat kerja dari dalam,” ujarnya.