Penyanyi Bollywood, Lata Mangeshkar meninggal dunia

Lata Mangeshkar
Lata Mangeshkar
A
A
A

MUMBAI - Penyanyi legenda India, Lata Mangeshkar meninggal dunia pada usia 92 tahun di Mumbai pada Ahad setelah mengalami kegagalan pelbagai organ sehari sebelum itu.

Doktor kanan yang merawat beliau di Hospital Breach Candi mengesahkan pada mulanya penyanyi Bollywood itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan menghidap radang paru-paru dan didiagnosis positif Covid-19 pada Januari lalu.

"Wanita tersebut terpaksa diberikan bantuan ventilator selama beberapa minggu sehingga 28 Januari lalu setelah tahap kesihatannya menunjukkan peningkatan," ujar Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu, N Santhanam.

Menurutnya, kematian Mangeshkar dipercayai mungkin disebabkan komplikasi pasca Covid-19.

"Pada Sabtu, keadaan kesihatannya kembali merosot dan terpaksa bergantung semula kepada ventilator," jelasnya.

Beliau yang mula terjun ke dalam bidang nyanyian pada usia 13 tahun dan merekodkan lagu pertama pada 1942 turut mendapat julukan 'Nightingale of India'.

Sepanjang tujuh dekad perjalanan kariernya, beliau telah menjadi penyanyi latar lebih 30,000 lagu dalam pelbagai bahasa selain alunan suara merdunya di sebalik lagu popular seperti 'Ek Pyar Ka Nagma Hai', 'Raam Teri Ganga Maili', 'Ek Radha Ek Meera' dan 'Didi Tera Devar Deewana'.

Pada 1969, Lata Mangeshkar pernah menerima anugerah ketiga tertinggi orang awam, Padma Bhushan disusuli anugerah kedua tertinggi orang awam, Padma Vibhushan pada 1999 dan anugerah tertinggi orang awam, Bharat Ratna pada 2001.

Artikel Berkaitan:

Perancis juga pernah menyampaikan anugerah tertinggi orang awam di negara itu, ‘Officier de la Legion d’Honneur kepadanya pada 2009. - Agensi