[VIDEO] Anggota JPJ maut kejar motosikal lari lawan arus

Anggota JPJ meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jala raya pada Ahad.
Anggota JPJ meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jala raya pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia akibat kemalangan di kilometer (km) 13 Lingkaran Karak berhampiran stesen minyak Shell menghala Plaza Tol Gombak di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa yang menunggang motosikal mengejar sebuah lagi motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak secara melawan arus.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas di laluan tersebut sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak sekitar jam 9.30 pagi.

"Kejar mengejar berlaku dalam keadaan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak,"katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Allahyarham Muhamad Azizi Azizan yang bertugas di JPJ Kuala Lumpur meninggal dunia selepas terlibat kemalangan sewaktu bertugas.
Allahyarham Muhamad Azizi Azizan yang bertugas di JPJ Kuala Lumpur meninggal dunia selepas terlibat kemalangan sewaktu bertugas.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan anggota JPJ, Allahyarham Muhamad Azizi Azizan yang bertugas di JPJ Kuala Lumpur meninggal dunia selepas terlibat kemalangan sewaktu bertugas.

Allahyarham yang berusia dalam lingkungan 30-an dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki warga asing.

Artikel Berkaitan:

Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau memohon saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

"Saksi kejadian juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-61262222,"ujarnya.