Polis patahkan sindiket pelacuran didalangi mak nyah

Semua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut. - Foto Polis Kedah
Semua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut. - Foto Polis Kedah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis berjaya mematahkan satu sindiket pelacuran didalangi seorang lelaki tempatan yang berperwatakan wanita di sebuah rumah di taman perumahan di Sungai Petani pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dilakukan pada jam 9.45 malam oleh sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pelacuran.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, terdapat dua wanita dipercayai pelacur dan tiga lelaki sebagai pelanggan berada di dalam rumah tersebut yang telah beroperasi sejak Disember tahun lalu.

"Seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipanggil mami mengaku sebagai mak ayam dan menguruskan urusniaga dengan menawarkan perkhidmatan seks bermula harga antara RM150 hingga RM300.

"Dua wanita tempatan itu mengaku bekerja sebagai pelacur. Kedua-duanya berusia 25 tahun manakala tiga lelaki tersebut juga penduduk tempatan berusia 23 hingga 36 tahun. Mereka semua telah ditahan bersama barang kes termasuk sejumlah wang tunai dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adzli berkata, tiga pelanggan yang ditahan itu masing-masing bekerja sebagai buruh dan pekerja kilang.

Menurutnya, sindiket melakukan promosi kegiatan tidak bermoral tersebut melalui aplikasi media sosial bagi mendapatkan pelanggan.

"Siasatan lanjut masih lagi dilakukan oleh pihak polis," katanya.

Artikel Berkaitan: