Muda tidak ambil mudah kehadiran 750,000 pengundi baharu

Syed Saddiq (tengah) mendengar permasalahan yang disuarakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India semasa Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, pekan Ulu Tiram, Johor Bahru pada Sabtu.
Syed Saddiq (tengah) mendengar permasalahan yang disuarakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India semasa Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, pekan Ulu Tiram, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak mengambil mudah kehadiran 750,000 pengundi muda dan baharu yang dikatakan akan menjadi 'game changers' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda tidak mahu melihat pengundi baharu itu sebagai kelebihan sebaliknya mahu semua ahlinya bekerja dan berusaha lebih kuat untuk memenangi hati mereka.

"Saya selalu ingatkan pemimpin Muda supaya jangan ambil mudah undi anak muda. Kita perlu kerja dan berkhidmat jauh lebih kuat daripada parti lain.

"Saya ingatkan mereka bukan disebabkan Muda, orang muda akan tentu memilih kita. Kita perlu membawa perubahan dasar yang lebih baik untuk mereka. Inilah cara untuk kita mendekati hati mereka.

"Sebab itu kita perlu fokus kepada politik dasar dan politik khidmat yang jauh lebih baik daripada parti lain, biar kita berlumba-lumba bukan untuk menjatuhkan yang lain tetapi berlumba-lumba untuk menunjukkan kita dapat beri tawaran dan khidmat jauh lebih baik," katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, di pekan Ulu Tiram di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas peluang dan kelebihan Muda dalam menarik undi 750,000 pengundi muda dan baharu untuk mengundi mereka dalam PRN Johor nanti.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, tawaran yang dibuat Muda kepada golongan itu lain daripada lain dan realistik kerana anak muda kini dilihat berbeza dan jauh lebih bijak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka tidak akan mengundi seseorang calon itu hanya kerana faktor usia muda dan golongan itu juga tidak akan memilih seseorang calon hanya kerana diberikan wang.

"Anak muda sekarang berfikiran lebih matang dan mereka berpendidikan dan tahu apa yang lebih baik untuk mereka," katanya.

Beliau menafikan Undi 18 adalah satu kelebihan untuk Muda, sebaliknya itu adalah satu keistimewaan untuk orang muda kerana ketika ini semua parti berlumba-lumba untuk menarik sokongan mereka.

"Menerusi Undi 18 dan automatik kita boleh lihat semua parti politik berlumba-lumba untuk mencalonkan anak muda, semua parti politik membincangkan isu-isu anak muda dengan lebih dekat dengan hati mereka.

"Ini termasuk mengeluarkan dasar yang lebih dekat dengan anak muda," katanya sambil memberitahu kepentingan Undi 18 sudah disuarakannya semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan.