Doa Mujahid buat mereka di Lombok

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof lahirkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa terutamanya warganegara Malaysia yang terlibat dalam insiden gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada petang tadi.

Katanya, beliau mendoakan semoga ALLAH permudahkan urusan menyelamatkan rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh ketika gempa bumi berlaku di kawasan Air Terjun Tiu Kelep.

"Doa saya juga buat seluruh mangsa yang terlibat dalam kejadian gempa bumi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa Lombok: Dua korban, 500 rumah musnah

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima laporan bahawa seorang warganegara Malaysia terkorban dalam insiden gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia petang tadi.

Bernama melaporkan, individu yang terkorban adalah Tai Siew Kim, 56 tahun yang merupakan Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang Sin Chew Daily.

Mendiang dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi melanda.

Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, 22 pelancong rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, sudah ditemui.

Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok - Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia