Pas konsisten agenda penyatuan ummah

Hanafi Zulkapli
Hanafi Zulkapli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan terus konsisten dengan agenda penyatuan ummah walaupun ditentang pelbagai pihak terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Naib Ketua Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli berkata, agenda penyatuan ummah dilihat berjaya memberi kesan besar terhadap kedua-dua parti tersebut.

"Namun ada segelintir individu yang rakus dan gentar dengan pengadilan mahkamah dan cuba untuk merencanakan agenda memperbodohkan selain cuba memperkudakan Pas.

"Namun Pas sesekali tidak terusik dan terus istiqamah dengan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti Melayu Islam yang bersetuju dengan agenda penyatuan ummah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu Hanafi turut menyeru pimpinan dan ahli parti itu untuk meribatkan taat setia kepada institusi Presiden sehingga ke destinasi yang dituju.

"Kami memberikan kepercayaan sepenuhnya bersama Tuan Guru Presiden untuk menentukan halatuju dalam melayari bahtera memperkukuhkan penyatuan ummah yang akan menguntungkan masa depan survival politik Melayu Islam di tanah air ini.

"Walau apa pun agenda rahsia dan perancangan jahat daripada kluster-kluster tertentu, Pas tidak sesekali akan berpaling dan terpana dengan habuan yang disajikan," katanya.

Artikel Berkaitan: