Penyandang DUN Paloh dicalonkan semula

Sheikh Umar
Sheikh Umar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali secara rasmi dicalonkan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

PH dalam satu kenyataan memaklumkan, Sheikh Umar telah dicalonkan berdasarkan kredibiliti selain menjadi calon pertama pembangkang yang memenangi kerusi itu sejak DUN N30 Paloh diwujudkan.

“Sebagai individu yang penuh semangat dan mempunyai idealisma, Sheikh Umar telah menyertai parti politik pada usia muda.

“Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pada tahun 2014 hingga 2017 sebelum diamanahkan DAP untuk bertanding di kerusi DUN Paloh pada PRU14.

“Langkah yang diambil telah memenangkan satu-satunya kerusi 'belum menang' DAP pada PRU-13 yang lalu dan kemenangan Sheikh Umar juga dilihat telah menyumbang kepada PH untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Dalam kenyataan sama, pencalonan semula Sheikh Umar juga dibuat berdasarkan beberapa faktor lain, antaranya pengalaman politik, kerjaya selain pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri selepas PH memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018.

“Semasa pentadbiran PH, Sheikh Umar telah diamanahkan untuk memegang portfolio Exco Keusahawanan, Ekonomi Kreatif, Penerangan, Belia dan Sukan Johor dan antara pencapaian boleh dilihat apabila beliau berjaya mewujudkan beberapa insiatif seperti Geran Orang Lokal (GOL) untuk usahawan kecil dan program EK (Ekspresi Komuniti / Ekonomi Kreatif).

“Selain itu, ketika berkhidmat sebagai ADUN antara sumbangan besar beliau adalah dengan memperjuangkan pembinaan Jalan Paloh-Bekok dan hasilnya kerajaan telah memasukkan projek ini dalam senarai projek berimpak tinggi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dijadualkan akan bermula pada suku kedua tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

“Projek ini juga bakal menjadi 'pintu masuk pertama' dalam sejarah Johor yang menghubungkan daerah Kluang-Segamat secara terus menerusi jalan darat,” katanya.

Untuk rekod, Sheikh Umar merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Putrajaya.

Ketika berkhidmat sebagai penjawat awam, Sheikh Umar juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Imigresen Malaysia dan Penolong Setiausaha di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.