Jaguh tenis remaja negara intai Terbuka Perancis

Mitsuki Leong (kanan) dan Shihomi Leong menunjukkan piala dan medal yang dimenangi mereka pada Kejohanan Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di Singapura pada Januari lalu.
Mitsuki Leong (kanan) dan Shihomi Leong menunjukkan piala dan medal yang dimenangi mereka pada Kejohanan Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di Singapura pada Januari lalu.
A
A
A

IPOH - Jaguh tenis remaja negara, Mitsuki Leong Wei Kang kini sedang mengintai peluang untuk menyertai Grand Slam Tenis Terbuka Perancis pada penghujung Mei depan.

Keyakinan itu disuarakan Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid susulan kejayaan menjuarai Kejohanan Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di Singapura pada Januari lalu.

Menurutnya, kemenangan dua kejuaraan kategori perseorangan dan dua kategori beregu itu sekali gus melonjakkan ranking Mitsuki Leong daripada 213 kepada 165 dunia bagi kategori remaja lelaki.

"Ini merupakan kejayaan terbesar buat Mitsuki Leong yang merupakan pemain termuda Malaysia dan pemain remaja yang memenangi kejohanan ITF terbanyak sehingga kini iaitu sebanyak enam kejuaraan sejak tahun lalu di Thailand.

"Dengan ranking yang ada ketika ini melayakkan Mitsuki Leong untuk kejohanan Grand Slam Tennis Junior. Dia layak secara automatik bagi peringkat kelayakan dan kita sedaya upaya untuk membawanya ke kejohanan Grand Slam Tenis Terbuka Perancis nanti," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, di sini pada Jumaat.

Fazwil
Fazwil

Sementara itu, Fazwil juga turut berbangga dengan pencapaian atlet tenis remaja wanita negara yang sedang meningkat naik iaitu Shihomi Leong Li Xuan kerana turut unggul pada kejohanan di Singapura itu apabila berjaya membawa pulang dua medal juara perseorangan dan satu medal beregu.

Menurutnya, kemenangan itu juga turut melonjakkan ranking daripada 1,157 kepada 419 remaja wanita dunia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut merayu semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri untuk melihat potensi kedua-dua pemain remaja tersebut dengan memberikan bantuan bagi membolehkan mereka terus meningkat prestasi.

"Kita harap pihak berkenaan tengok-tengoklah kami ini kerana pemain-pemain ini sangat berbakat dan berpotensi besar untuk mengharumkan negara di peringkat antarabangsa. Mereka memerlukan dana bagi menyertai kejohanan antarabangsa.

"Kita juga berharap agar kemudahan latihan sukan seperti gelanggang tenis sedia ada dapat digunakan oleh atlet berbakat seperti ini bagi membolehkan mereka meningkatkan lagi prestasi," katanya.

Dalam pada itu, Mitsuki Leong mengakui berdepan pelbagai cabaran dalam kejohanan di Singapura itu khususnya dari sudut gelanggang dan bola tenis yang digunakan.

Bagaimanapun, atlet berusia 18 tahun itu tidak gentar dan berjaya menewaskan lawannya masing-masing dari Singapura dan India pada perlawanan akhir perseorangan dalam kejohanan tersebut.