Tidak wajar pertikai kesetiaan Pas - Muhyiddin

Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga sebelum Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, pada Jumaat
Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga sebelum Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, Muar, pada Jumaat
A
A
A

MUAR - Tidak timbul soal Pas akan bekerjasama dengan parti atau gabungan lain kerana parti itu sudah memutuskan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN sudah menetapkan kawasan untuk bertanding melibatkan tiga parti komponen itu dan proses pembahagian kerusi akan diselesaikan hujung minggu ini.

Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh itu juga memberitahu, pembahagian berkenaan mungkin dikekalkan dalam pilihan raya umum dan setiap parti akan diperkukuhkan atas nama PN yang bertujuan membantu rakyat.

"Muzakarah antara Bersatu dan Pas yang dimuktamadkan baru-baru ini juga sudah cukup membuktikan kesungguhan semua parti dalam PN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya pada Jumaat.

Beliau juga tidak mahu ahli mempertikaikan kesetiaan Pas yang dikatakan sebagai pengasas bersama penubuhan PN dan Gerakan.

"Jangan dipertikai, jangan dipersoalkan kesetiaan dan istiqamah Pas. Kita baru selesaikan muzakarah dan membentangkan resolusi yang menunjukkan komitmen total parti dalam PN," katanya.

Pada Sabtu, Pas menerusi Muzakarah Pas Bersatu di Shah Alam mengumumkan akan bekerjasama dengan UMNO dan Gerakan dalam PRN Johor.

Lima resolusi dicapai pula dengan kesepakatan mendukung nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif serta menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Artikel Berkaitan: