Isu saman Azam Baki: Peguam Lalitha failkan kenyataan pembelaan

Lalitha - Foto Twitter Lalitha Kunaratnam
Lalitha - Foto Twitter Lalitha Kunaratnam
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam telah memfailkan kenyataan pembelaannya terhadap saman fitnah dilakukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Lalitha ketika memaklumkan kepada Sinar Harian pada Jumaat menyatakan pembelaan itu telah difailkan oleh wakil firma peguam yang mewakilinya, Ibrahim & Fuaadah di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Azam telah memfailkan saman fitnah RM10 juta di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur terhadap Lalitha berhubung artikelnya bertajuk ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’.

Peguam Azam, Megat Abdul Munir menerusi satu kenyataan media berkata, saman itu dibuat selepas surat tuntutan dikeluarkan pada 6 Januari lalu tidak mendapat sebarang respons daripada wanita tersebut.

Azam selaku plaintif turut menuntut perintah mahkamah supaya Lalitha memadam kenyataan atau artikel berkenaan dalam masa tiga hari dari tarikh penghakiman serta permohonan maaf secara terbuka.

Beliau menegaskan, tajuk artikel tersebut adalah sensasi, bersifat skandal, menjengkelkan dan menjelekkan.

Dalam pada itu, sebutan kes tersebut telah dijadualkan pada 15 Februari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din.

Artikel Berkaitan: