Tiga beradik dirawat di HSNZ

Zuraida menziarahi tiga beradik tersebut di wad HSNZ, di sini, hari ini.
Zuraida menziarahi tiga beradik tersebut di wad HSNZ, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga beradik terpaksa menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, selepas mengalami simptom demam dan muntah dipercayai akibat pencemaran pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Mereka adalah Nur Anis Najiha Azwan, 10, Muhammad Ikhwan Danial Azwan, 7, dan adiknya Muhammad Darwisy Najmi Azwan, 4.

Bapa mereka, Azwan Che Baharuddin, 37, berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Setiu berikutan keadaan di lokasi agak kelam kabut dan membimbangkan apabila memikirkan jarak lokasi terjejas dengan rumahnya hanyalah 200 meter.

Katanya, dia pulang ke Setiu pada Jumaat lalu namun seorang daripada anaknya sudah mula menunjukkan menunjukkan simptom sejak berada di rumah mereka di Taman Cermai, Kota Masai, Johor Bahru.

“Malam semalam, saya bawa Muhammad Ikhwan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan kerana dia tiba-tiba demam dan muntah, namun dia dirujuk ke sini (HSNZ).

“Lebih kurang jam 1 tengah hari tadi, Muhammad Darwisy dan kakaknya Nur Anis turut di wad kerana menunjukkan simptom sama namun keadaan mereka stabil tapi agak lemah,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus.

Ketiga-tiga beradik itu antara 29 mangsa yang menerima rawatan di HSNZ akibat mengalami demam dan muntah selepas masing-masing mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman berikutan pencemaran di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.

Artikel Berkaitan: