Sindiket judi guna nama pucuk pimpinan PDRM takutkan anggota

Abd Jalil menunjukkan gambar Ops Dadu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Khamis.
Abd Jalil menunjukkan gambar Ops Dadu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik sindiket judi dalam talian yang menggunakan nama pucuk pimpinan badan berkenaan untuk menakut-nakutkan anggota polis dan penguat kuasa daripada melakukan serbuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sindiket judi dalam talian disyaki sengaja mengada-adakan cerita bahawa telah mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak atasan PDRM.

"Ia bagi menakut-nakutkan anggota polis bagi mengambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan terhadap aktiviti perjudian itu.

"Penggunaan nama pihak atasan PDRM juga dipercayai untuk tarikan dan jaminan kepada pengunjung untuk bermain judi di premis tersebut yang kononnya kebal daripada pihak berkuasa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Khamis.

Abd Jalil berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan sindiket judi dalam talian.

"Kami tidak pernah memberikan lampu hijau kepada mana-mana sindiket untuk menjalankan aktiviti judi dalam talian ini untuk beroperasi," katanya.

Abd Jalil berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi memastikan tiada anggota dan pegawai PDRM bersubahat dengan sindiket judi dalam talian.

"Pasukan JIPS turut dilibatkan dalam setiap operasi yang dilaksanakan bagi memastikan serbuan yang dilakukan itu mengikut prosedur operasi standard.

"Setiap laporan operasi akan dirujuk kepada JIPS untuk penilaian lanjut membabitkan anggota dan pegawai yang terlibat operasi," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, katanya, Bukit Aman bersama kontinjen polis seluruh negara telah melancarkan Ops Dadu sejak 15 Januari hingga 2 Februari lalu.

"Seramai 1,355 orang termasuk penjaga premis ditahan, 2,558 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM189,196 dirampas dalam 826 serbuan Ops Dadu," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tangkapan terbanyak iaitu 342 orang ditahan dalam 132 serbuan.

"Sebanyak 856 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM30,078 dirampas dalam serbuan itu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti judi dalam talian boleh menyalurkan maklumat ke WhatsApp hotline Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) JSJ Bukit Aman di talian 016-5773477.