PDRM perluas penggunaan dron 'jaga' sempadan

Hazani (kanan) menunjukkan dron yang akan digunakan oleh PGA dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan pada Majlis Penyerahan Dron Kepada PGA di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang pada Khamis.
Hazani (kanan) menunjukkan dron yang akan digunakan oleh PGA dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan pada Majlis Penyerahan Dron Kepada PGA di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperluaskan penggunaan dron di seluruh semenanjung Malaysia kepada 10 unit bagi memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara menerusi teknologi kepintaran buatan (AI) dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, penggunaan dron terbukti membantu penugasan pihaknya menerusi kawalan sempadan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan.

"Sudah tiba masanya PDRM memperluaskan lagi teknologi AI itu bagi memastikan tahap keselamatan negara terus dipertingkatkan dari masa ke masa.

"Hasrat saya suatu hari nanti penggunaan AI dapat diperluaskan sehingga ke sempadan perairan negara," katanya pada Majlis Penyerahan Dron Kepada PGA di Markas Taktikal Lubok Stol di sini pada Khamis.

Menurutnya, penggunaan teknologi perlu dipertingkatkan berikutan penjenayah menggunakan pelbagai taktik bagi mengelakkan dicekup.

Beliau berkata, situasi itu membuatkan PDRM sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan sebarang ancaman.

Hazani berkata, anggota PGA yang mengendalikan dron itu juga telah diberikan latihan secukupnya sejak Mac tahun lalu dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.

Katanya, penggunaan dron amat diperlukan dalam membantu PDRM mengumpul data sekali gus melancarkan penugasan di sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan dron juga akan turut dicadangkan kepada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Pengunaan dron kepada FRU penting bagi membolehkan mereka memantau perhimpunan atau rusuhan," jelasnya.