Batal permit institut memandu bukan polisi MOT

Ka siong - Foto Bernama
Ka siong - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menegaskan tindakan untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod kemalangan jalan raya adalah bukan polisi kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan merupakan satu ketetapan dasar oleh MOT pada masa ini.

"Tindakan hanyalah merupakan satu pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim," katanya.

Menurutnya, sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan tambah baik akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh kementerian dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanan, kebolehlaksanaan dan keupayaan untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

"MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya persalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kajian terperinci melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan.

"Dalam masa sama, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya serta aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

"Kementerian serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata langkah pembatalan permit IM dan menarik balik sijil pengajar adalah sebagai usaha JPJ membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.