[VIDEO] Peratus keluar mengundi rendah beri keuntungan kepada UMNO

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal memberikan keuntungan kepada UMNO, kata Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, realiti mengenai perkara itu boleh dilihat dalam keputusan PRN Melaka pada tahun lepas yang menyaksikan kemenangan selesa UMNO.

“Di Melaka, apabila pengundi luar tidak balik ke negeri sendiri, yang menangnya adalah mereka (UMNO) sebab dia ada orang yang tradisinya duduk dalam lokaliti tersebut.

“Yang atas pagar dan sokong kita serta mahukan perubahan dan pembaikan dalam negara mungkin bekerja di tempat lain dan dia tidak cukup masa atau mungkin ada sekatan yang menyebabkan mereka tidak dapat nak balik

“Jadi, itulah realitinya, apabila peratusan keluar mengundi rendah, yang untungnya UMNO,” katanya dalam majlis Jelajah Penerangan Isu-Isu Semasa Negeri Johor, di Muar, Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Penerangan Bersatu Malaysia pada Rabu.

PRN Melaka ke-15 menyaksikan jumlah peratusan pengundian sebanyak 65.85 peratus, iaitu kurang daripada jangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus.

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, mesej yang positif sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan partinya menang dalam PRN tersebut sekiranya ia turut tidak disertai dengan usaha untuk memastikan kepulangan pengundi luar untuk mengundi dalam PRN Johor.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan bahawa keputusan yang diperolehi dalam PRN Johor bakal turut memberikan implikasi di peringkat Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun dibubarkan adalah Dewan Undangan Negeri Johor, tetapi sasaran sebenar mereka ialah Parlimen dan kerajaan di Putrajaya,” ujarnya.