Buang persepsi negatif terhadap gelaran ibu tiri

Ironinya, bukan semua mak tiri seperti dalam filem Bawang Putih, Bawang Merah yang berperwatakan bengis dan antagonis. Gambar hiasan 123RF
Ironinya, bukan semua mak tiri seperti dalam filem Bawang Putih, Bawang Merah yang berperwatakan bengis dan antagonis. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

“NANTI kalau ayah kita kahwin lain, silap-silap habis harta pusaka kena rembat.

“Kau jangan bagi bapak kau menikah lain, nanti habis berbirat badan adik kau yang kecil tu dikerjakan.”

Itu mungkin antara dialog biasa didengari, umpama siapa sahaja wanita yang berkahwin dengan ayah selain ibu kandung, memang begitulah sikapnya. Sama ada kes bercerai hidup atau mati mahupun berpoligami, ibu tiri pasti menjadi watak digeruni dan dikaitkan dengan persepsi negatif.

Tidak hairan dek kerana persepsi itu, masyarakat telah meletakkan satu penanda aras kepada seseorang sebelum mengenali hati budi sebenarnya.

Ironinya, bukan semua mak tiri seperti dalam filem Bawang Putih, Bawang Merah yang berperwatakan bengis dan antagonis.

Merak Jalanan mempunyai seorang kawan yang mempunyai pengalaman tinggal serumah bersama ibu tiri.

Bapanya bernikah dengan seorang lagi wanita selepas ibunya meninggal dunia. Ternyata persepsinya terhadap ibu tiri selama ini kononnya perampas kebahagiaan ternyata tidak benar.

Kalau di dalam drama televisyen atau filem, ibu tiri dikaitkan dengan perangai mata duitan, mahu merampas takhta arwah ibu atau harta bapa, namun hakikatnya ibu tiri kawan Merak Jalanan itu jauh daripada perwatakan sebegitu.

Sebaliknya, wanita itu menghabiskan hari-harinya menyantuni dan melayani keluarga dengan sebaiknya. Ketika anak-anak sibuk dengan kerjaya dan rumah tangga masing-masing, mak tiri ini setia menjaga makan pakai bapa mereka tanpa mengeluh.

Walaupun watak mak tiri dianggap liar dan mempunyai agenda, namun sebenarnya tidak semua begitu, malah ramai yang polos dan baik hati.

Artikel Berkaitan:

Cuma Merak Jalanan terfikir, bolehkah sekiranya panggilan ‘mak tiri' yang sudah dicemari dengan anggapan negatif itu ditukar supaya bunyinya tidak terlalu ganas. Sekadar cadangan...