Pas tidak akan diperbodohkan dengan politik sempit: Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa partinya tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan politik sempit dibawa oleh UMNO yang menurutnya masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu.

Menurutnya, UMNO ketika ini bukan sahaja meminggirkan rakan politiknya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi turut dilihat meminggirkan masyarakat majmuk melalui pendekatan yang telah gagal melalui Barisan Nasional (BN).

“Semua mengetahui mengapa UMNO mahukan Pas sahaja dan Pas sekali-kali tidak boleh diperbodohkan dalam politik yang sempit.

“Dalam pendekatan yang berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Pas terlebih dahulu mengadakan hubungan dengan Bersatu yang ketika itu masih berada dalam kerajaan, sebelum UMNO turut bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 baru sahaja berlangsung.

“Demikian itu disebabkan oleh kedudukan sebahagian pemimpin Bersatu sebelumnya bersama UMNO yang bertindak keluar daripada parti itu, ketika UMNO sedang bermasalah dalam pentadbiran kerajaannya sehingga jatuh kerajaan itu,” katanya menerusi hantaran 'Minda Presiden Pas' di Facebook miliknya pada Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, selain daripada menolak untuk bersama PH disebabkan hala tujunya yang salah, partinya juga memilih untuk tidak bersama UMNO melalui pendekatan BN yang telah ‘bocor bahteranya’ kerana Pas tidak mahu tenggelam bersama gabungan tersebut.

Pada masa sama, Abdul Hadi juga berkata, adalah terang lagi bersuluh pada ketika ini bahawa Pas mahu mengembalikan UMNO ke pangkal jalan perpaduan Melayu dan agama mengikut acuan Islam.

“Pada masa yang sama, (Pas) tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Bersatu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: