Penduduk ketakutan bimbang diserang Pak Belang

Keadaan kawasan kebun lengang sejak ternakan di Kampung Chabang, Kerteh, diancam harimau tiga minggu lalu.
Keadaan kawasan kebun lengang sejak ternakan di Kampung Chabang, Kerteh, diancam harimau tiga minggu lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Penduduk di Kampung Chabang, Kerteh, disini diselubungi ketakutan kerana bimbang diserang harimau belang yang dikesan berlegar di kawasan sekitar kampung itu.

Keadaan itu menyebabkan mata pencarian penduduk terjejas kerana ada antara mereka tidak keluar ke kebun sejak tiga minggu lalu selepas berlaku kes serangan ke atas haiwan ternakan di kawasan itu, awal Januari lalu.

Seorang penduduk, Ab Rahim Mat Akil, 60, berkata, rata-rata penduduk di sini sudah tidak masuk ke kebun sehingga lewat petang, malah ada yang terus meninggalkan kebun dan tidak duduk di pondok yang dibina kerana bimbang ancaman harimau.

Bagaimanapun, Ab Rahim berkata, dia terpaksa juga memberanikan diri ke kebun duriannya yang terletak tiga kilometer (km) dari rumah kerana bimbang tanaman itu musnah berikutan cuaca panas dan tidak menentu buat masa ini.

"Sudah tiga minggu ada kesan harimau belang dilihat di kawasan berhampiran kampung ini menyebabkan kami hidup dalam ketakutan.

"Sebelum ini, selepas waktu Asar saya masih berani turun ke kebun tetapi sekarang saya takut. Biasanya saya akan ke kebun jam 9 pagi dan pulang ke rumah sekitar 12 tengah hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chabang, Yusof Ghani, 58, berkata, penduduk kampung kini berdepan ancaman harimau selepas ternakan penduduk yang terletak 500 meter dari kawasan mereka tinggal dibaham harimau.

Gambar tapak kaki harimau sebesar saiz tapak tangan dewasa yang dirakam.
Gambar tapak kaki harimau sebesar saiz tapak tangan dewasa yang dirakam.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu katanya, ada penduduk mendakwa terserempak dengan harimau belang kira-kira 100 meter daripada kawasan rekreasi di Hutan Lipur Air Terjun Menderu di kampung itu, petang Sabtu lalu.

"Selepas kejadian terserempak harimau, malam itu anjing peliharaan penternak di kawasan kampung pula ditemukan mati dengan kesan gigitan pada bahagian badan," katanya.

Menurut Yusof, keadaan itu menyebabkann kawasan air terjun itu ditutup sejak Selasa kerana terdapat kesan tapak harimau sebesar enam inci di kawasan sekitar.

"Biasanya harimau akan aktif memburu pada waktu pagi, petang atau malam. Kita percaya harimau yang berkeliaran ini dua beranak di mana ibunya dianggarkan seberat 100 kilogram dengan ketinggian 1.06 meter," katanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang petanda menunjukkan harimau itu mendekati jerat yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak dua minggu lalu.

Ab Rahim berkongsi cerita mengenai kehadiran Pak Belang di kampungnya.
Ab Rahim berkongsi cerita mengenai kehadiran Pak Belang di kampungnya.

"Kes serangan harimau terhadap ternakan di kawasan ini sudah biasa berlaku di kampung ini dan kawasan sekitar namun biasanya harimau ini adan beredar daripada kawasan ini setelah mendapat hasil tangkapan.

"Tetapi, kali ini sudah masuk tiga minggu kesan harimau ini masih lagi dilihat ada di kawasan ini. Lebih-lebih lagi apabila harimau ini dilihat berada berdekatan dengan kawasan rekreasi yang dikunjungi orang ramai di kampung ini.

"Situasi ini menimbulkan kebimbangan penduduk untuk keluar rumah dan mencari rezeki hasil tanaman di kebun," katanya.

Pada 14 Januari lalu, seorang penternak lembu menemukan seekor lembu peliharaan mati dalam keadaan ngeri dengan kepala terputus dipercayai dibaham harimau belang di kampung berkenaan.