Dua lelaki menyamar anggota polis samun warga asing diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seramai dua lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang pekerja buruh warga asing di Taman Permata di sini 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki berusia 55 dan 35 tahun itu ditahan secara berasingan di Pandan Indah dan Taman Muda pada Ahad.

"Semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod lampau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian pada jam 1.20 petang itu, mangsa berusia 39 tahun mendakwa dia didatangi seorang lelaki ketika sedang melakukan kerja ubah suai rumah di Taman Permata di sini.

"Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menyatakan menjaga kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, suspek telah meminta sejumlah wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa.

"Mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM100 dan telefon bimbit kepada suspek," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah direman lima hari bermula Ahad hingga Khamis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.