Sila log masuk terlebih dahulu.

Harga siling runcit ayam RM8.90 sekilogram

KPDNHEP menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu. - Gambar hiasan
KPDNHEP menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan bermula setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada Jumaat

Menurutnya, harga tersebut akan kekal sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan.

“Penetapan harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi.

“Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

“Dengan peningkatan kos pengeluaran makanan, pihak industri mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan dan sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam di pasaran masa ini akan melebihi RM10 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nanta berkata, harga runcit RM8.90 merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika SHMKM dari 7-31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.

Tambah beliau, penetapan harga baru runcit ayam akan ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa ketetapan rakyat-centric bersabit dengan industri pengeluaran ayam dan telur juga telah diputuskan dalam mesyuarat NACCOL tersebut, antaranya adalah harga telur semua gred kekal seperti harga maksimum runcit SHMKM semasa.

“Pelaksanaan kedua-dua harga siling runcit ayam dan telur ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022.

Bagaimanapun harga siling runcit ini akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam dan telur dalam negara.

“Seterusnya, permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam berbanding sebelum ini, mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

Jelasnya, KPDNHEP juga ingin menyatakan sokongan terhadap keputusan proaktif kerajaan dalam memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin bukan sahaja dari segi bekalan tetapi juga pada harga yang tidak membebankan rakyat Malaysia.

“Menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit sebagai alternatif kepada jagung dan soya yang diimport sepenuhnya sebagai makanan ayam.

“Mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.

“KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan arahan kerajaan kepada agensinya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan berterusan bagi memastikan tiada wujudnya kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur,” katanya.

Menurut Nanta, semua ketetapan termasuk pelan tindakan jangka panjang yang diputuskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan yang akan dipengerusikan oleh MAFI dan akan dilaporkan dalam mesyuarat NACCOL akan datang.