Kilang sebabkan pencemaran sungai dikompaun RM10,000

Kilang itu dikompaun selepas menerima aduan orang awam mengenai pencemaran sungai yang mana airnya menjadi putih.
Kilang itu dikompaun selepas menerima aduan orang awam mengenai pencemaran sungai yang mana airnya menjadi putih.
A
A
A

BUTTERWORTH- Sebuah kilang memproses makanan di sini dikenakan kompaun RM10,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas didapati menyebabkan pencemaran air di parit awam, pada Isnin.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu dikompaun selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai pencemaran sungai yang mana airnya menjadi putih.

"Selepas menerima aduan, kita menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap air sungai berkenaan bagi mengenalpasti punca pencemaran. Selain itu, kita juga menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat.

"Susulan daripada itu, kita telah memeriksa sebuah kilang berasaskan makanan yang dipercayai antara punca berlaku pencemaran tersebut. Kilang itu dipercayai membuang sisa tanpa rawatan ke parit awam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Sharifah Zakiah lagi, kilang itu juga gagal mengendalikan sistem pengolahan effluen perindustrian dengan baik dan menyebabkan pencemaran pada parit awam.

"Kilang itu telah gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) 2005.

"Sehubungan itu, kita telah mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap kilang tersebut mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009," katanya.

Tambahnya, pemilik kilang juga diarahkan memberhentikan sebarang pelepasan effuen tanpa dirawat dengan serta merta.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan itu bagi menghentikan pencemaran air di kawasan sungai tersebut. Pemilik kilang juga diarahkan menutup semua pintasan yang dipasang secara haram yang digunakan untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.

"Selain itu, pihak kilang turut diarah menaik taraf Sistem Pengolahan Effluen sedia ada selain buangan terjadual yang dihasilkan perlu mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005," katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada pemilik premis atau kilang untuk mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan tidak berlaku pencemaran alam sekitar dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.