Kem wushu berlatih dalam negara sebelum berentap di Vietnam

Yew Fai
Yew Fai
A
A
A

KEM wushu negara berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam mana-mana kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa, sebelum menggalas tugas negara dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei depan

Sebaliknya, jurulatih negara Lim Yew Fai berkata, atlet kebangsaan akan menjadikan ujian di sini, sebagai platform untuk mempersiapkan diri dalam temasya sukan dwitahunan yang bakal berlangsung pada 12 hingga 23 Mei itu nanti.

"Sehingga kini sebelum Sukan SEA tiada kejohanan lagi... kita akan lakukan ujian lagi sebelum Sukan SEA termasuk mengenakan pakaian dan solekan seperti dalam pertandingan sebenar.

"Pihak persatuan juga akan jemput pengadil antarabangsa dari Malaysia, untuk memberi markah dalam ujian dijalankan,” katanya dalam satu video dikongsi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada media pada Isnin.

Yew Fai berkata, pihaknya juga telah melakukan ujian pertama minggu lepas selepas dua tahun sepi tanpa aksi susulan pandemik Covid-19, sambil menyatakan perasaan gembira melihat anak-anak buahnya dapat kembali ‘melepaskan geram’ di atas gelanggang.

Beliau pada masa sama mengingatkan atletnya agar berwaspada dengan kelibat atlet Vietnam, Indonesia serta Singapura, yang mampu menggugat cabaran Malaysia untuk meraih pingat di Hanoi nanti.

Selain Sukan SEA, beliau juga sedang mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini serta kejohanan dunia di Tokyo, Jepun, dijadual berlangsung November ini, selepas penganjurannya ditunda dari tahun lepas akibat Covid-19.

Edisi lepas Sukan SEA pada 2019 di Manila, Filipina menyaksikan Malaysia merangkul empat pingat iaitu dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Artikel Berkaitan:

Mengenai sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, Yew Fai menyatakan rasa terujanya apabila dapat menyambut bersama ahli keluarga selepas terpaksa meraikannya berseorangan gara-gara situasi pandemik tahun lepas.