JPJ Johor keluar lebih 90,000 saman pelbagai kesalahan

Azmil menyampaikan cenderahati kepada para pengguna jalan raya ketika meninjau Operasi Khas Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di Plaza Tol Skudai, pada Isnin. -- Foto Bernama
Azmil menyampaikan cenderahati kepada para pengguna jalan raya ketika meninjau Operasi Khas Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di Plaza Tol Skudai, pada Isnin. -- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 91,945 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, yang menyaksikan penurunan 0.9 peratus berbanding 100,944 saman pada 2020.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 48,801 saman dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen memandu, 5,871 berkaitan cukai jalan, 20,618 bagi kesalahan teknikal manakala bakinya membabitkan kesalahan lain.

"Pandemik Covid-19 merupakan antara punca (penurunan jumlah saman yang dikeluarkan),” katanya kepada pemberita selepas operasi khas sempena Tahun Baharu Cina berhampiran tol Skudai pada Isnin.

Mengulas operasi khas itu, beliau berkata, sejumlah 170 anggota penguat kuasa JPJ terlibat di pelbagai lokasi di 10 daerah di Johor yang bermula 25 Jan lepas hingga Isnin dan akan diteruskan dari 3 hingga 8 Februari depan, yang membabitkan pelbagai agensi.

Azmil berkata, dalam operasi khas motosikal di Plaza Tol Skudai yang bermula semalam hingga Isnin, sebanyak 1,281 kenderaan diperiksa dan 148 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi itu juga menyaksikan enam lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 25 hingga 37 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis metamfetamina serta ganja. - Bernama

Artikel Berkaitan: