UMNO khianati persefahaman politik di Johor

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor dapat bertahan sebelum ini walaupun dengan majoriti satu kerusi kerana adanya persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang berkongsi kuasa selain persetujuan pembangkang untuk tidak menumbangkan kerajaan.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, tiada mana-mana pihak yang mengkhianati persefahaman politik itu terutama PN dan pembangkang walaupun tidak pernah menandatangani sebarang dokumen bagi memegang janji tersebut.

Bagaimanapun katanya, persefahaman itu dikhianati apabila UMNO tanpa persetujuan parti komponen PN yang berkongsi kuasa berjaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lalu.

"PN tidak pernah mengkhianati integriti politik dan kepercayaan yang diberikan UMNO kerana menyedari tindakan mencabul ikatan janji tersebut akan disifatkan sebagai pengkhianatan serta mementingkan diri sendiri.

"Sokongan diberikan PN dan pembangkang terhadap Menteri Besar Johor kerana kita mementingkan soal rakyat Johor tetapi bila nak bubarkan DUN, UMNO tak pernah minta pandangan kita pun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Solihan berkata, semasa Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri kira-kira satu jam sebelum DUN dibubarkan, Hasni tidak menzahirkan apa-sebarang penghargaan walau sepatah ucapan terima kasih kepada barisan exconya.

"Sebagai seorang exco dan insan biasa, sikap Menteri Besar itu tidak manis kerana detik-detik akhir dalam kerajaan negeri wajar diakhiri dengan sesuatu yang boleh dijadikan kenangan manis," ujarnya yang juga Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor.

"Apatah lagi Menteri Besar menerajui kerajaan negeri pun dengan sokongan padu wakil PN serta PH di DUN Johor. Senario ini dengan jelas menunjukkan bagaimana sikap pemimpin UMNO yang tidak tahu atau mungkin tidak mahu menghargai sokongan diberikan parti ‘lawan’ yang bersikap terbuka menyokong dan bekerjasama semata-mata demi kepentingan rakyat Johor serta kestabilan politik negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sikap tersebut jelas menunjukkan sisi sebenar pemimpin UMNO dan perkara itu turut berlaku apabila UMNO menguasai semula tampuk kerajaan Persekutuan.

"Selepas itu pemimpin tertentu parti tersebut serta-merta melancarkan pelbagai tindakan dan fitnah untuk menolak PN termasuk memutuskan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mengadakan PRN untuk menyingkirkan PN.

"Sehubungan itu, Bersatu meminta rakyat menilai sikap negatif pemimpin UMNO itu yang dengan mudah mempermainkan kepercayaan dan mengkhianati perkongsian kuasa yang dipersetujui," katanya.

Kata beliau, sepatutnya pengundi terutama orang BN dan Melayu faham sikap pemimpin mereka walaupun sukar untuk mengubah sokongan.

"Tetapi pengundi 18 tahun ke atas perlu melihat sikap pemimpin UMNO yang tidak mempunyai integriti politik sekali gus membuat penilaian dengan perspektif yang berbeza.

"Akhirnya PN Johor mahu mengulangi keyakinan akan mendapat sokongan yang sangat besar daripada pengundi dan akan membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti. Kita tidak boleh lagi membenarkan UMNO dengan sifat-sifat negatifnya, cara pemikiran pemimpinnya serta sikap buruknya apabila berkuasa," katanya.