Warga emas maut dihempap pokok

Anggota bomba bersama APM menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok hujan-hujan, hari ini. (Gambar kecil: Norizan)
Anggota bomba bersama APM menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok hujan-hujan, hari ini. (Gambar kecil: Norizan)
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang wanita warga emas maut ditimpa sebatang pokok hujan-hujan berusia lebih 100 tahun di Kampung Lembah Masjid, Bukit Chandan bersebelahan Masjid Ubudiah di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, mangsa, Norizan Am, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa merupakan ibu tunggal sedang berbasikal untuk pulang ke rumahnya melalui kawasan terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, setibanya lapan anggota di tempat kejadian, sebatang pokok setinggi 15 meter telah menghempap dua rumah penduduk dan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback.

"Maklumat awal yang diterima mendapati ada mangsa dibawah timbunan dahan dan daun.

"Anggota bertindak memotong dahan tumbang dengan menggunakan gergaji rantai sebelum menemui mangsa dalam keadaan terduduk selain mengalami pendarahan di kepala," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa merupakan kakak kepada seorang anggota BBP Kuala Kangsar, Abdul Jalil Am.

Artikel Berkaitan:

Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

"Kerja pembersihan dijalankan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya, Anggota Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar," katanya.