UTP raih anugerah emas di Putra Brand Awards 2021

SERI ISKANDAR - Universiti Teknologi Petronas (UTP), yang merupakan antara universiti tersohor di rantau ini terpilih memenangi anugerah emas berprestij dalam kategori Pendidikan dan Pembelajaran di Putra Brand Awards 2021.
Ini merupakan kemenangan sulung UTP bagi anugerah emas, yang sekali gus mencerminkan dan menjadi bukti bahawa ia adalah jenama pilihan nombor satu seluruh rakyat Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi, kerana juri Putra Brand Awards terdiri daripada panel 11,000 pengguna Malaysia.
"Penghargaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan yang terbaik dalam pendidikan dan ia juga mengukuhkan kenyataan bahawa kami sedang membina jenama ke arah hala tuju yang betul di setiap peringkat untuk pihak berkepentingan kami, yakni pelajar, ibu bapa, penaja dan rakan usaha sama.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkepentingan kami, atas kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama UTP, dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan, meningkatkan tahap kami dalam menyediakan pengalaman dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik kepada pengguna kami, terutamanya kepada pelajar," kata Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib sebagai mengulas anugerah itu.