Isu MN: Pemimpin Pas, UMNO diseru pilih politik damai

 Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan Pas perlu berhenti 'bercakaran' dalam isu Muafakat Nasional (MN), sebaliknya memilih jalan politik damai dengan menghormati pilihan masing-masing.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sekiranya kedua-dua parti gagal untuk bersatu pada platform politik berpilihan raya, namun masih bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan bersama.

Beliau berkata, sehingga kini budaya politik matang sejahtera masih menjadi sebahagian dasar Pas dalam membawa politik dakwah.

"Ada yang kurang mesra MN daripada awal lagi. Kalau sekarang ada yang membakar jambatan tiada yang pelik.

"Tidak sedikit yang sebegini daripada kedua belah pihak. Namun, ia tidak menghalang untuk kita terus memperjuangkan perpaduan umat.

"Usahlah serang-menyerang. Ambillah politik damai menghormati pilihan masing-masing. Teruskan berdoa yang terbaik untuk umat," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Kenyataan terbaharu Mohd Khairuddin di laman sosialnya itu dibuat bagi 'membalas' kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Ahad.

Nur Jazlan dilaporkan berkata, Pas perlu berhenti memalukan diri sendiri dengan terus menagih simpati dan seperti 'gila talak' untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perkara itu hanya menunjukkan Pas seperti terhegeh-hegeh selain menyifatkan parti itu sudah hilang arah selepas mempunyai dua 'suami' dalam perkahwinan berbeza.