Harap tiada lagi halangan laksana Kedah Aerotropolis

Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Pos Aviation dan KLIA College di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Pos Aviation dan KLIA College di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah berharap tiada lagi halangan untuk negeri itu melaksanakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang kini dijenamakan kepada Kedah Aerotropolis.

Pengerusi KXP AirportCity merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri melalui konsultan dilantik telah menyelesaikan penyelarasan laluan udara bagi projek Kedah Aerotropolis itu.

Katanya, beliau telah mendengar taklimat teknikal daripada konsultan yang mengemukakan semua laporan dari segi kewangan, guna tanah, teknikal dan aktiviti yang diperlukan untuk menjayakan Kedah Aerotropolis.

“Semua aspek yang diperlukan untuk pembinaan Kedah Aerotropolis telah kita siapkan dan proses pengambilan tanah juga sudah diuruskan. Jadi, saya nak maklumkan kita telah mencapai tahap yang begitu memberangsangkan bagi menjayakan Kedah Aerotropolis.

“Harap tidak ada apa-apa lagi yang menghalang kita daripada menjayakan rancangan besar ini. Laporan udara tentang laluan penyesuaian bersama dengan lapangan terbang negeri jiran termasuklah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth juga diselesaikan dengan baik dan sempurna,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Pos Aviation dan KLIA College di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi JK Teknikal KXP AirportCity Holdings, Tan Sri Jamilus Hussein; pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KXP AirportCity Holdings, Nur Salman Saad; pemangku CEO Pos Aviation, Mohamad Asif Abdul Talib dan CEO KLIA College, Fakri Zaki Mohammed Darus.

Tambah Muhammad Sanusi, lebih penting adalah pandangan dan penyertaan pemain industri dalam projek Kedah Aerotropolis, yang mana ia telah memasuki fasa pemasaran di peringkat antarabangsa dan juga domestik.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, hari ini kita juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dengan Pos Aviation yang mengendalikan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Menurutnya, KXP Holding Berhad turut menandatangani MoU bersama KLIA College bagi memastikan keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir tersedia untuk memenuhi keperluan di Kedah Aerotropolis nanti.

Melalui persefahaman itu, anak syarikat Pos Malaysia Berhad, Pos Aviation dilantik sebagai pengendali akhir (end user) pengendalian kargo udara dan operasi darat di Kedah Aerotropolis.

Pos Aviation yang berpengalaman selama 27 tahun pernah dinobatkan sebagai KLIA Best Service Excellence Award 2015.