Peniaga warga Myanmar dicekup jual rokok seludup

Sebanyak 110 karton rokok seludup dirampas daripada lelaki warga Myanmar di Taiping. - Foto ihsan PDRM, gambar kecil: Osman
Sebanyak 110 karton rokok seludup dirampas daripada lelaki warga Myanmar di Taiping. - Foto ihsan PDRM, gambar kecil: Osman
A
A
A

TAIPING - Seorang peniaga warga Myanmar ditahan polis selepas didapati menjual rokok seludup dianggarkan bernilai RM14,500 di sebuah kedai runcit di Kamunting di sini pada Sabtu.

Serbuan kira-kira jam 8 malam itu dijalankan hasil maklumat Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan dan dibantu anggota Balai Polis Kamunting.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, hasil pemeriksaan menemukan 110 karton rokok tanpa cukai kastam di premis terbabit.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 40 tahun itu mengakui pemilik barang rampasan tersebut.

"Pemeriksaan mendapati lesen perniagaan premis berkenaan didaftarkan atas nama isterinya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, suspek yang mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah kini direman selama empat hari sehingga Selasa ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan: