Makkal Sakti hasrat tanding PRN Johor

Thanenthiran
Thanenthiran
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas tiket Barisan Nasional (BN).

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran berkata, permohonan untuk bertanding sudah disuarakan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sebelum ini pucuk pimpinan BN memberikan maklum balas positif berhubung permintaan tersebut.

"Dalam perjumpaan sebelum ini Ahmad Zahid berharap agar parti politik 'Friends of BN' diberi peluang untuk bertanding sama dalam PRN Johor atas kegigihan dan kesetiaan parti ini terhadap gabungan itu.

"Berapa banyak kerusi atau kerusi mana itu kita tidak tetapkan dan tiada syarat langsung. Apa yang kami mahu hanyalah peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Setiausaha Agung UMNO Bersama Parti Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada di sini pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr M Suriya dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Thanenthiran berkata, Makkal Sakti sedia menggerakkan 27,000 ahlinya untuk membantu kempen bagi memenangkan BN dalam PRN Johor.

"Jentera kami sudah membuat persiapan untuk sama-sama berkempen dan mengajak masyarakat khususnya kaum India di negeri ini agar kembali memberi sokongan kepada BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Makkal Sakti akan terus setia bersama BN walaupun terdapat beberapa tawaran kerjasama daripada parti lain selepas gabungan itu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Selepas BN tewas, banyak parti meninggalkan gabungan itu, sementara banyak juga tawaran diberitahu kepada kami, namun kami tetap setia bersama BN sama ada menang atau kalah," katanya.