Isu hak cipta punca tukar logo Perak FC

Pihak pengurusan Perak FC memperkenalkan logo baharu yang direka oleh pereka mereka sendiri. (Gambar kecil) Muhammad Yunus
Pihak pengurusan Perak FC memperkenalkan logo baharu yang direka oleh pereka mereka sendiri. (Gambar kecil) Muhammad Yunus
A
A
A

IPOH - Perak FC menjelaskan pengenalan logo baharu kelab itu dibuat antaranya disebabkan isu hak cipta logo sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihak pengurusan mengambil langkah memperkenalkan logo baharu yang direka oleh pereka mereka sendiri.

Menurutnya, logo baharu itu tetap mengekalkan elemen tradisi pasukan dari segi warna dan wajah seladang serta gelaran The Bos Gaurus yang digunakan pasukan Perak.

"Perubahan logo ini juga merupakan penjenamaan semula dan perubahan pengurusan Perak FC itu sendiri. Kita sebelum telah mulakan dengan pembaharuan pasukan dengan barisan kejurulatihan baharu, bukan sekadar ubah logo semata-mata.

"Perubahan logo ini melibatkan isu ownership logo lama. Apa yang pasti perubahan ini sesuatu yang positif buat pasukan dan kita sangat berharap agar peminat Perak FC terus memberikan sokongan kepada kelab," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas pelancaran logo baharu yang diumumkan melalui laman sosial media milik kelab tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, mengenai persiapan pasukan, Muhammad Yunus berkata, pembentukan pasukan hanya sekitar lima peratus untuk dilengkapkan dengan sedikit pemain tempatan dan import.

Menurutnya, pengenalan pemain dan pasukan akan dibuat sebelum tarikh akhir pemindahan pemain yang ditetapkan pada 22 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, pasukan Perak FC memperkenalkan logo baharu menjelang saingan Liga Premier musim ini menerusi laman media sosial milik kelab berkenaan, pada Sabtu.

Menerusi satu klip video berdurasi 45 saat yang dimuat naik di akaun Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube kelab tersebut, beberapa logo Perak FC sebelum ini turut ditampilkan dari tahun 1921 sehingga tahun 2021,

Syamsul Baharin Putra
Syamsul Baharin Putra

Dalam pada itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi menyambut baik usaha pengurusan Perak FC memperkenalkan logo baharu ini.

Katanya, pengenalan logo baharu itu memberikan harapan yang segar kepada penyokong untuk melihat pasukan Perak FC bangkit kembali dalam saingan Liga Premier musim ini.

Jelasnya, bagaimanapun usaha memperkuatkan pasukan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan Perak FC menjadi pasukan digeruni di dalam Liga Premier.

Syamsul Baharin Putra berkata, jatuh bangun sesebuah pasukan disebabkan kualiti pemain dan pengurusan, bukan reka bentuk logo atau jersi yang dipakai pemain.