PBM tidak tolak jika ada peluang tanding PRN Johor

Saiful Bahari
Saiful Bahari
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak pelawaan jika diberi peluang menampilkan calon daripada parti itu untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden Muda PBM, Saiful Bahari Sahari berkata, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin sebagai pengenalan untuk membuktikan kualiti ahli mereka.

Menurut beliau, PRN Johor merupakan pentas terbaik mempromosikan enam agenda The Great Reset 2030 yang penting untuk jaminan kestabilan pentadbiran negara.

"Ia juga peluang kepada kita untuk terus menyokong kesinambungan semua perancangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan sedia ada.

"Justeru, sekiranya diputuskan untuk bertanding, calon yang kita akan tampilkan mestilah individu dikenali pengundi setempat selain mengutamakan anak muda profesional dan berintegriti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal iaitu Parti Pekerja Sarawak.

Parti berkenaan diketuai Ahli Parlimen Julau (Sarawak), Larry Sng Wei Shien sebagai Presiden dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya (Selangor), Haniza Mohamed Talha sebagai Timbalan Presiden.

Sementara itu, ditanya mengenai sekutu PBM yang lebih sesuai untuk bersama pada PRN Johor, Saiful menegaskan PBMu sehingga kini belum terikat dengan mana-mana parti tetapi menyokong kerajaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, PBM tidak menyuarakan hanya menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi kita di peringkat parti sebulat suara bersetuju dengan kerajaan yang mentadbir sekarang," katanya.