X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Cukai tertunggak: HASiL beri lima petua elak tindakan mahkamah

Eduzone turut dilengkapi dengan pelbagai video pendek dan wawancara pegawai HASiL yang berbentuk penerangan dan boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai.
A
A

SHAH ALAM - Tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 menyebabkan orang ramai terpaksa mengatur semula perbelanjaan bulanan agar pendapatan atau hasil perniagaan yang diperoleh mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka pada masa hadapan.

Namun, dalam usaha mengatur semula perbelanjaan, ada yang mengabaikan bayaran cukai yang sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

“Akibatnya, baki cukai menjadi tertunggak dan risiko untuk dikenakan tindakan mahkamah adalah tinggi.

“Sekiranya tindakan mahkamah diambil, ia bukan sahaja menjejaskan imej malah menambah beban kewangan kerana terpaksa mengupah peguam bagi mempertahankan diri,” jelas HASiL, menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Bagi mengelak daripada masalah dikenakan tindakan mahkamah, HASiL memperkenalkan lima petua dengan cara menasihati orang ramai agar bijak menguruskan cukai dengan baik.

Pertama, orang ramai perlu peka dan ambil peduli peruntukan undang-undang berkaitan percukaian.

Undang-undang telah menetapkan individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan dan hanya makan gaji perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun.

“Bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.

“Sementara bagi syarikat pula, mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat,” jelas kenyataan itu.

Kedua, orang ramai diminta rujuk maklumat berkenaan cukai yang banyak terdapat di portal rasmi HASiL dan juga carian internet.

Contoh tangkap layar paparan aplikasi MyTax yang membolehkan kita membuat semakan kedudukan terkini cukai pendapatan.
Contoh tangkap layar paparan aplikasi MyTax yang membolehkan kita membuat semakan kedudukan terkini cukai pendapatan.

Menurut HASiL, pelbagai maklumat berkaitan cukai pendapatan ada dimuatkan dalam portal rasmi di www.hasil.gov.my, termasuk menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone.

Selain portal rasmi HASiL, maklumat berkaitan percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi HASiL dan portal-portal firma percukaian bertauliah lain yang pakar dalam bidang percukaian.

Ketiga, bagi memastikan orang ramai mendapat maklum balas sahih dan nasihat yang tepat, mereka boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan HASiL di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 bagi panggilan dari luar negara.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi nombor telefon bimbit rasmi yang terdapat dalam portal rasmi LHDNM.

Malah, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh HASiL untuk dimanfaatkan oleh orang ramai.

Keempat, pihak HASiL menyarankan orang ramai menyemak kedudukan cukai melalui MyTAX yang menjadi one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai terkini.

Petua kelima, HASiL mengalu-alukan perbincangan dengan mana-mana individu atau wakil syarikat untuk bayaran ansuran cukai.

Menurut kenyataan itu, orang ramai perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang ingin dicadangkan.

“Tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya orang ramai sentiasa ambil peduli mengenai hal ehwal percukaian mereka,” tegas kenyataan itu.

Dalam pada itu, HASiL turut menekankan tentang pentingnya pembayaran cukai bagi membantu kerajaan menyediakan dana bantuan dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat yang terkesan pandemik atau bencana alam akan terbela.

Sistem percukaian juga ditransformasikan dalam bentuk kemudahan dan program pembangunan serta kebajikan seluruh lapisan masyarakat.

HASiL turut menyeru orang ramai menjalankan tanggungjawab kerana setiap sumbangan yang disalurkan menjadikan masa depan rakyat Malaysia terus membangun dan sejahtera.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!