Syed Saddiq sahkan Muda tanding PRN Johor

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, ia sekali gus menjadikan PRN Johor sebagai negeri pertama parti itu bertanding.

"Muda secara rasminya akan bertanding dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda. Muda adalah perubahan bagi Johor.

"Jadi, marilah kita bersama-sama membina Johor yang bersatu padu dan sejahtera. Mari Bersama Muda,” kata Syed Saddiq menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya pada Jumaat malam.

Syed Saddiq yang juga pengasas Muda sebelum ini dilaporkan mengumumkan parti itu telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember 2021.

Pada 25 Januari lepas, Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani dilaporkan berkata, Syed Saddiq mungkin bertanding pada PRN Johor selain mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon Pas, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding. - Bernama

Artikel Berkaitan: