BAM sudah reda, FAM masih lagi bergelora

Gambar dari kiri: Hamidin, Mohamad Norza
Gambar dari kiri: Hamidin, Mohamad Norza
A
A
A

SELESAI sudah saga ‘perpindahan’ jaguh perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia apabila dia akhirnya mendapat ‘restu’ daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional.

Malah, rakan seperjuangannya yang juga bekas pemain perseorangan wanita utama negara, Goh Jin Wei kini mampu menghela nafas lega apabila BAM turut memberi ‘lampu hijau' kepadanya untuk tidak lagi bernaung di bawah badan induk itu.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media pada Khamis, BAM menerima rayuan yang dikemukakan Zii Jia dan Jin Wei, sekali gus membenarkan kedua-dua pemain itu beraksi dalam semua kejohanan antarabangsa.

Dengan perkhabaran terbaharu dari Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara itu, maka boleh dibuat kesimpulan bahawa kemelut yang berlaku antara BAM dengan Zii Jia dan Jin Wei telah menemui titik noktah.

Pujian dan tabik hormat harus diberikan kepada BAM terutama presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Beliau nyata berjiwa besar, malah tidak keterlaluan jika dikatakan beliau bersikap gentleman dalam menyelesaikan konflik itu.

Beliau bijak menyusun strategi bagi menangani kemelut yang berlaku itu daripada terus berpanjangan. Buktinya, tidak sampai seminggu Tan Sri berjaya mengakhiri ‘gelora’ yang tercetus di ABM sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kini segala-galanya terletak di tangan Zii Jia dan Jin Wei. Hala tuju mereka selepas ini sudah tentu sentiasa berada dalam radar peminat sukan badminton tanah air. Tanpa BAM di sisi, mereka harus bijak mengatur langkah di gelanggang.

Baik Zii Jia mahupun Jin Wei, mereka harus sentiasa beringat bergerak solo bukan semudah menutur A, B dan C. Banyak elemen perlu diberi perhatian khususnya dalam mencari sparring (rakan sepelatih) termasuk khidmat jurulatih.

Artikel Berkaitan:

Paling penting, mereka harus kekal konsisten bagi ‘membuka mata’ syarikat-syarikat besar untuk tampil sebagai penaja. Tanpa sokongan pihak penaja, agak mustahil bagi kedua-dua pemain itu untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok terbaik dunia.

Dalam pada Zii Jia dan Jin Wei mahupun BAM sudah boleh menutup buku atas kemelut yang berlaku sebelum ini, namun lain pula ceritanya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tampak masih bergelut menangkis serangan dari luar Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sejak kegagalan skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu, FAM saban hari dikecam penyokong bola sepak tanah air. Malah, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi individu ‘paling dikehendaki’ netizen di media sosial.

Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusikan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan telah merungkai beberapa kelemahan. 10 dapatan yang dikenal pasti badan siasatan itu sudah cukup menceritakan kelompangan dalam FAM.

Terbaharu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan cerita sebenar di sebalik kegagalan Harimau Malaya. Agak mengejutkan apabila FAM dikatakan tidak mengikut pelan asal untuk menghantar skuad B-23 negara.

Beberapa pendedahan lain dibangkitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu termasuk isu ‘tangan ghaib’ dan ‘kambing hitam’, sekali gus menyerlahkan lagi seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran FAM.

Apapun bertabahlah Datuk Presiden dalam mendepani sebarang kritikan mahupun kecaman penyokong. Mungkin ini bukan detik terbaik tetapi kita semua mengharapkan ada sinar di hujung terowong suatu hari nanti.