TH sumbang 81 katil tilt elektronik bernilai RM1.8 juta kepada KKM

Idris
Idris
A
A
A

KOTA KINABALU - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sabtu menyumbang 81 unit katil tilt elektronik bernilai RM1.8 juta bagi menambah jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terpilih yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, katil itu diberikan kepada hospital terpilih mengikut negeri iaitu Selangor (15 unit), Kelantan (14), Kuala Lumpur (10) dan Kedah (14), Perak (lima), Sabah (empat), Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing tiga serta Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Perlis masing-masing dua.

"Sumbangan ini adalah sebahagian zakat TH menerusi Program Afi’at bagi membantu meringankan tanggungan hospital di seluruh negara dalam usaha merawat pesakit terutama mereka yang berpendapatan rendah dan golongan asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan Program A’fiat TH di Hospital Queen Elizabeth II pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin serta Pengarah TH Wilayah Negeri Sabah dan Sarawak Datin Nurlaili Said.

Idris juga berkata, sebagai agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, TH mengambil inisiatif memberi sumbangan zakat menerusi program itu yang sedikit sebanyak membantu kelancaran dan rawatan pesakit di hospital.

Beliau berkata sejak Program Afi’at TH diperkenal pada 2012, mesin dan peralatan perubatan bernilai hampir RM6 juta telah disumbangkan kepada hospital KKM di seluruh negara.

Katanya sumbangan itu merupakan platform terbaik untuk TH mendekati penerima sekali gus mengeratkan lagi silaturahim dengan KKM. - Bernama

Artikel Berkaitan: