Projek kapal tempur: BHIC sedia beri kerjasama penuh kepada SPRM

BHIC mengulangi pendirian untuk berpegang teguh dalam memerangi segala bentuk rasuah dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM serta pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan projek LCS.
BHIC mengulangi pendirian untuk berpegang teguh dalam memerangi segala bentuk rasuah dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM serta pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan projek LCS.
A
A
A

SHAH ALAM - Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).

BHIC dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, mereka akan tetap mengulangi pendirian untuk berpegang teguh dalam memerangi segala bentuk rasuah.

“Kami juga akan terus gigih menangani isu-isu yang dikenal pasti oleh juruaudit luaran dan dalaman serta untuk memenuhi jangkaan Lembaga Pengarah dan pemegang kepentingan kerajaan dalam menunjukkan tadbir urus korporat yang baik dan bernilai.

“BHIC akan terus bekerjasama rapat dan telus dengan kerajaan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pembiaya, kontraktor serta vendor terutamanya dalam tempoh 12 bulan yang lalu untuk mencapai hasil yang dipersetujui semua pihak untuk mengembalikan LCS ke landasan yang betul,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima TLDM pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

Pada Isnin, SPRM telah menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut di Ibu Pejabat SPRM dan mereka dikehendaki memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: