Bukan kerja mudah jadi Ketua Pemuda PN: Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli (dua dari kanan) ketika menerima pelantikan watikah pelantikan Ketua Pemuda PN daripada Muhyiddin (dua dari kiri) pada Rabu sambil disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Parti PN, Datuk Seri Ahmad Faizal bin Azumu (kanan) dan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (kiri).
Ahmad Fadhli (dua dari kanan) ketika menerima pelantikan watikah pelantikan Ketua Pemuda PN daripada Muhyiddin (dua dari kiri) pada Rabu sambil disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Parti PN, Datuk Seri Ahmad Faizal bin Azumu (kanan) dan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pelantikannya untuk menjawat jawatan tersebut sebagai suatu tanggungjawab yang besar untuk dipikul.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas itu berkata, tugasan tersebut bukan satu kerja yang mudah kerana gabungan berkenaan dilihat sedang berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya selepas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

“Musim ini saya kira ialah musim kemarau bagi PN khususnya selepas PRN Melaka.

“Walau bagaimanapun kerana ia merupakan mandat daripada parti dan juga sokongan sahabat-sahabat, saya gagahkan diri untuk menggalas amanat ini bagi berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pelantikan Ahmad Fadhli sebagai Ketua Pemuda PN pada Rabu dilakukan bagi menggantikan Senator Khairil Nizam Khirudin yang telah mengambil keputusan untuk berundur selepas dipilih menjadi Ketua Penerangan Pas.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut merakamkan penghargaan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pembentukan barisan kepimpinan Pemuda PN akan dilakukan seberapa segera yang mungkin selepas perbincangan bersama rakan pemuda parti di bawah gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan: