Miliki lapan gerai apam balik, Syed tampil resipi tersendiri

Apam balik tebal biasa dijual dengan harga bermula RM3 dan apam nipis dijual dengan harga RM1 untuk dua keping.
Apam balik tebal biasa dijual dengan harga bermula RM3 dan apam nipis dijual dengan harga RM1 untuk dua keping.
A
A
A

TIDAK pernah bermimpi untuk menjadi usahawan apam balik, namun itulah rezeki Syed Amran Syed Jamaludin, 56, apabila kini mempunyai lapan buah gerai menjual kuih berkenaan di beberapa daerah di negeri ini.

Tekad mempelajari pembuatan apam balik, Syed Amran atau lebih dikenali sebagai Syed menghabiskan ribuan ringgit untuk memperoleh ilmu bagi membuat apam balik berkenaan melibatkan empat orang guru, termasuk seorang guru dari Indonesia.

Walaupun apam balik bukanlah kuih yang popular, namun Syed cuba mencari satu kelainan supaya apam balik jualannya menjadi pilihan orang ramai.

"Masa saya belajar itu umur saya 20-an, hati berkobar-kobar untuk berniaga. Saya belajar dengan empat orang guru. Semuanya cara berlainan, saya gabungkan dan saya ubah sedikit sebanyak.

"Saya habiskan tepung berguni untuk belajar setiap hari selama lebih dua tahun untuk mendapatkan resipi yang betul-betul saya mahukan. Apabila saya beri pada cikgu saya, mereka berempat pun terkejut kerana gabungan itu sangat lain.

"Apam balik biasanya keras bila sejuk, tapi saya mencipta resipi sendiri supaya apam berkenaan tidak keras dan tahan lama, tidak basi. Ini penting bagi memastikan ia tetap boleh dimakan walaupun dalam tempoh lebih dua hari,"katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Kegembiraan pembeli menjadi keutamaan Syed setiap masa.
Kegembiraan pembeli menjadi keutamaan Syed setiap masa.

Mengulas lanjut, Syed memberitahu, perniagaan yang diusahakan sejak lebih 30 tahun itu kini dikendalikan oleh tujuh anak dan menantunya di kawasan Kota Bharu, Wakaf Bharu dan membuka gerai di pasar malam dan pasar tani.

Artikel Berkaitan:

Menjaga kualiti

Ketika ditanya mengenai kualiti apam baliknya, Syed memberitahu, dia mengambil masa lebih setahun untuk mengajar pekerja dan anak-anaknya bagi mengendalikan perniagaan berkenaan.

"Sekarang ini saya serah sepenuhnya kepada mereka dan turun ke kedai jarang-jarang saja. Ambil masa setahun juga untuk ajar mereka berdikari sendiri. Cuma mereka sudah tahu yang saya seorang yang amat pentingkan kualiti.

"Kalau ada terlebih masak, saya tidak benarkan mereka jual, kecuali ada pembeli yang mahu, kita bagi percuma sahaja. Walaupun harga murah, tapi kualiti dan rasa kena jaga.

"Apam saya pun lembut, macam span, yang nipis pula rangup. Memang budak-budak gemar makan yang rangup. Apa yang penting pembeli gembira," katanya.

Salah sebuah gerai Syed yang terletak di bandar Kota Bharu.
Salah sebuah gerai Syed yang terletak di bandar Kota Bharu.

Harga murah

Syed berkata, harga apam baliknya hanya bermula dari RM1 untuk dua keping yang nipis manakala RM3 untuk apam balik tebal yang biasa manakala yang 'special' pula RM4.

Walaupun mengenakan harga yang murah, namun Syed tetap optimis rezeki dan keuntungan itu Allah sudah tetapkan dan dia tidak pernah rasa tertekan dengan perkara tersebut.

Malah katanya, dia juga kini membuka tempahan dan gerai di majlis-majlis perkahwinan dan tempahan dari orang-orang kenamaan termasuklah dari luar Kelantan.

"Dulu saya takut juga untuk buat di majlis kahwin, tapi Alhamdulillah semua baik saja. Kami sedia terima tempahan dan buat sebaik mungkin. Saya percaya rezeki di mana-mana," katanya.

Syed juga menggunakan lori kecil untuk bergerak ke pasar malam dan pasar tani.
Syed juga menggunakan lori kecil untuk bergerak ke pasar malam dan pasar tani.